Monday 29 July 2013

MIneral di Malaysia

 Mineral adalah merupakan bahan utama yang membentuk jasad bumi dan planet. Mineral adalah suatu bahan hablur pejal yang terbentuk secara semulajadi selalunya melalui proses inorganic (tidak berbentuk,berhayat). Ia mempunyai sifat fizikal yang homogeny dan mempunyai komposisi kimia yang tersendiri.

AMBER
Amber atau lebih dikenali di Malaysia sebagai damar merupakan fosil resin
pokok. Namanya diambil daripada perkataan arab iaitu ambergris yang
merujuk kepada bahan berminyak dan berbau wangi yang dikeluarkan oleh
sejenis ikan paus. Disebabkan ia terjadi dari resin pokok, kadang-kala boleh
didapati serangga atau debunga berada didalam amber. Kekerasan amber
adalah 1-3 bergantung kepada jenis dan asalnya. Contohnya, amber dari
Myanmar adalah paling keras iaitu 3. Manakala amber Baltic mempunyai kekerasan 2-2.5 amber Dominican pula mempunyai kekerasan1-2. Specific gravity amber adalah 1.05-1.2 dan boleh terapung di dalam air masin atau air laut. Ia boleh menjadi lembut apabila dibakar malah boleh terbakar. Selain itu,
ia juga mempunyai sedikit ciri flourecence dan boleh tercas apabila digosok. Amber biasanya boleh ditemui dalam warna kuning, jingga, merah, putih, perang, hijau dan kebiruan. Ia bolek dijumpai ditempat yang terdapat banyak batu arang seperti di Bau, Sarawak.



ARSENOPIRIT / ARSENOPYRITE
Mendapat nama dari komposisi unsur utamanya arsenik. Berwarna
putih perak dan kelabu yang berkilauan logam. Ia boleh melarut di
dalam larutan asid nitrik. Mempunyai sistem hablur Ortorombik,
kekerasan 6 dan graviti tentu 5.9 – 6.2. Biasanya mempunyai bentuk seperti kristal dan granular serta masif. Kegunaan utama mineral ini ialah sumber logam arsenik yang digunakan sebagai bahan tambahan dalam pembuatan cat, pencelup, racun serangga dan bahan peluntur kaca. Seringkali terdapat oleh logam emas dan pirit di dalam mineral ini. Antara tempat mudah di dapati mineral ini ialah di sekitar kawasan Bukit Besi, Terengganu dan di Lancang, Pahang


BAUKSIT / BAUXITE
Terbentuk apabila tindakan laluhawa berlaku kepada batuan yang mempunyai kandungan Aluminium Silika yang tinggi. Aluminium diasingkan oleh tindakan hujan dan aliran air di dalam batuan yang membawa silika ke tempat lain dan meninggalkan sebatian Hydrous Aluminium Oksida. Jadi ia merupakan campuran pelbagai jenis Aluminium Hidroksida dan Aluminium Oksida seperti Gibsite [Al(OH) 3 ] berwarna putih, Boehmite [AlO(OH)] berwarna putih dan Diaspore [AlO(OH)] berwarna kelabu, perang dan merah jambu. Mempunyai warna yang terang seperti merah, jingga, perang dan putih kelabu. Bentuk
yang paling biasa ditemui ialah granular seperti tanah merah (laterit) dan ia rapuh mudah dipecahkan. Kegunaan ialah sumber logam aluminium dalam pembuatan aloi, peralatan pendawaian elektrik dan pelbagai barangan yang memerlukan bahan yang tahan karat dan ringan. Lokasi utama mineral ini ialah di sekitar kawasan Pengerang dan Teluk Romania, Johor.


BERYL
Mendapat nama daripada perkataan greek beryllos yang merujuk
kepada warna air laut yang hijau kebiruan. Mempunyai kekerasan 7.5-
8 dan mempunyai system hablur heksagonal. Beryl mempunyai gravity tentu 2.63–2.80 dengan kilauan berkaca samada lutsinar ataupun lutcahaya. Terdapat pelbagai warna beryl yang boleh kita temui seperti tidak berwarna (goshenite), merah jambu (morganite), merah (bixbite), kuning cerah (golden beryl), kuning kehijauan (heliodor), hijau (emerald), biru (aquamarine) dan biru gelap (maxixe). Walau bagaimanapun beryl yang tulen adalah tidak berwarna manakala beryl merah amat jarang ditemui. Antara tempat yang boleh ditemui adalah seperti Simpang Pulai, Perak.


BARITE
Barite adalah mineral yang mengandungi barium sulfat. Namanya
berasal daripada perkataan greek yang bermaksud berat. Ia
mempunyai kekerasan 3-3.5 dan spesifik graviti 4.3-4.5. Manakala
sistem hablurnya pula terdiri daripada sistem orthorhombik. Barit
boleh ditemui dalam warna yang pelbagai seperti tidak berwarna,
putih, biru, hijau, kuning dan merah. Barite banyak digunakan dalam kerja-kerja eksplorasi penggalian minyak dan gas. Kegunaan lain barite ialah dalam pembuatan kereta, elektronik, skrin tv, getah, pemberat dalam eksplorasi penggalian minyak,seramik, cat dan kertas. Antara tempat yang boleh ditemui adalah seperti di Bukit Pencuri, Kelantan,Tasik Kenyir dan Kuala Berang, Terengganu.


DOLOMITE
Dolomite mendapat nama sempena ahli geologi Perancis Déodat de
Dolomieu yang merupakan orang pertama menerangkan tentang
dolomite iaitu sejenis batuan karbonat yang bertanggungjawab terhadap bentuk dan warna gunung tersebut. Ia boleh dijumpai dalam warna putih, kelabu ke merah jambu. Dolomite mempunyai kekerasan 3.5-4 dan spesifik graviti 2.84-2.86. ia mempunyai sistem hablur trigonal dengan kilauan berkaca hingga ke bak mutiara. Dolomite biasanya digunakan dalam pembuatan barangan
hiasan, agregat dalam konkrit dan juga sumber magnesium oksida. Ia biasanya wujud bersama batu kapur. Ianya boleh ditemui di Sungai Siput, Perak.


EMAS / GOLD (Au)Emas merupakan mineral yang sukar untuk didapati dan mempunyai nilai yang tinggi. Ia merupakan mineral yang tumpat, lembut, berkilat, dan merupakan mineral yang paling mudah ditempa serta elastik. Biasanya ia dijumpai bersama sedikit perak, tembaga dan kadang kala besi. Emas mempunyai kekerasan 2.5-3 dan spesifik graviti 15.5-19.3 dimana 1.93 merupakan emas tulen. ia mempunyai kilauan berlogam dan mempunyai system hablur isometric, octahedral dan dodecahedral. Walaupun begitu bentuk ini amat jarang ditemui dan biasanya dijumpai dalam bentuk ketulan kecil (nugget), kepingan dan wayaran halus. Antara kegunaan emas adalah dalam pembuatan barangan kemas, perhiasan, pendawaian elektrik dan elektronik, dan pergigian. Antara tempat yang boleh ditemui ialah di Penjom dan Sungai Aur, Pahang serta Lubuk Mandi Rusila,Terengganu.


FELDSPAR
Feldspar adalah kumpulan mineral yang paling besar didalam kerak bumi meliputi 60% secara keseluruhannya. Perkataan feldspar berasal daripada perkataan German feld bermaksud padang dan spat iaitu batu yang tidak mengandungi bijih. Terdapat dua jenis feldspar iaitu feldspar ortoklas dan feldspar plagioklas. Feldspar ortoklas mempunyai sistem hablur monoklinik dan mempunyai warna krim ke merah jambu dengan kekerasan 6. Bagi feldspar plagioklas pula mempunyai system hablur triklinik dan menpunyai warna putih ke kelabu dengan kekerasan 6-6.5. Feldspar banyak digunakan dalam industri negara seperti dalam pembuatan kaca, seramik, pembuatan jubin lantai, dan bahan penambah dalam cat, plastik dan getah. Antara tempat yang boleh ditemui adalah seperti di Gua Musang, Kelantan.



FLORIT / FLUORITE
Mudah dikenali kerana berwarna hijau dan ungu. Ia mempunyai kekerasan yang rendah iaitu 4.0 graviti tentu 3.1 dan boleh melarut di dalam asid sulfurik. Mendapat nama dari kandungan unsur di dalam mineral ini iaitu Florin. Ia mempunyai sistem hablur kubus dengan kebanyakannya muncul sebagai butiran kasar hablur dan biasanya bersatu dengan batuan igneus sebagai mineral sampingan. Kegunaan utama mineral ini sebagai bahan utama pembuatan asid hidrofluorik dan bahan seramik. Antara tempat mudah di dapati mineral ini ialah di sekitar kawasan Lancang, Pahang dan Lombong Tekah Gopeng Perak.


GALENA
Mendapat nama dari ahli semulajadi Roman, Pliny yang menggunakan nama Galena untuk merujuk kepada bijih Plumbum. Berwarna kelabu timah dan kadang kala berwarna kelabu sebam dengan kilauan logam cerah. Ia terbina dari sistem hablur kubus dan selalu muncul dalam bentuk masif, hablur kecil, granular dan diselaputi mineral dan batuan lain. Ia mempunyai kekerasan 2.5 dan graviti tentu 7.2 – 7.6. Galena merupakan mineral yang sangat berat berbanding dengan air dan mudah diasingkan dari bahan lain. Ia juga melarut di dalam asid nitrik sejuk untuk proses pengenalpastian. Kegunaan utama galena ialah
sumber Plumbum dengan 87% kandungan dan biasanya mempunyai 1% kandungan Argentum (perak) dari keseluruhan mineral. Plumbum digunakan di dalam pembuatan bateri, perpaipan, campuran bahan bakar dan sebagai mineral sampingan yang bernilai tinggi untuk kegunaan lain. Antara tempat mudah di dapati mineral ini ialah di sekitar kawasan Bukit Besi, Terengganu.


GARNET
Garnet merupakan kumpulan mineral yang telah digunakan sejak zaman tembaga lagi sebagai batu permata dan bahan pelelas. Kebiasaannya dijumpai dalam warna merah tetapi walau bagaimanapun ia juga boleh didapati dalam beberapa warna yang lain seperti oren, kuning, hijau, biru, ungu, perang, hitam, merah jambu dan tidak berwarna. Nama garnet berasal daripada perkataan latin iaitu granatus (grain). Ia mempunyai kekerasan 6.5-7.5 dan indeks biasan 1.72-1.94. Garnet mempunyai gravity tentu 3.56-4.32 dengan system hablurnya berbentuk isometric. Terdapat enam spesis garnet yang dikenalpasti berdasarkan komposisi kimia iaitu pyrope (Mg 3 Al 2 Si 3 O 12 ), almandine (Fe 3 Al 2 Si 3 O 12 ), spessartite (Mn 3 Al 2 Si 3 O 12 ), andradite (Ca 3 Fe 2 Si 3 O 12 ), grossular (Ca 3 Al 2 Si 3 O 12 ), uvarovite (Ca 3 Cr 2 Si 3 O 12 ). Ia boleh dijumpai di Gunung Jerai, Kedah.


GYPSUM
Gypsum adalah mineral yang terjadi hasil daripada kalsium sulfat terhidrat. Nama gypsum berasal daripada perkataan greek  yang bermaksud kapur atau plaster. Ia mempunyai kekerasan 2 dengan graviti tentu 2.31-2.33. Gypsum mempunyai sister hablur monoklinik dengan kilauan berkaca dan bak mutiara. Biasanya gypsum adalah tidak berwarna hingga ke putih tetapi disebabkan sedikit ketidaktulenan (impurities), ia boleh dijumpai dalam warna kuning, tan, biru, merah jambu, perang, perang kemerahan dan kelabu. Gypsum biasanya banyak digunakan dalam pembuatan gypsum board, kapur tulis, baja, simen, dan air penyejuk badan.


HALITE
Halite adalah sejenis mineral yang terbentuk daripada natrium klorida (NaCl). Biasanya ia lebih dikenali sebagai garam batu atau garam bukit. Mineral ini biasanya dijumpai dalam warna seperti tidak berwarna kekuning, tetapi terdapat juga yang berwarna seperti biru cerah, biru gelap dan merah jambu bergantung kepada jumlah dan jenis ketidaktulenan (impurities). Halite mempunyai system hablur isometric dengan kekerasan 2-2.5. Ia mempunyai kilauan
berkaca dan gravity tentu 2.1 serta mempunyai rasa masin apabila dirasa dengan lidah dan boleh larut dalam air. Halite banyak digunakan di dalam kes seperti mencairkan salji pada musim sejuk.


HEMATITE
Mendapat nama dari bahasa Greek, Haimatites yang bererti seperti darah yang merujuk kepada serbuk hematit yang berwarna merah. Biasa ditemui berwarna merah gelap, hitam dan perang dalam bentuk reniform (bentuk buah pinggang), kristal dan masif. Sistem hablurnya dari kategori trigonal. Mempunyai kekerasan yang tinggi 6.5 dan graviti tentu 5.2 – 5.3. Ia mempunyai kira-kira 70% ferum berbanding magnetit dengan 72% ferum di dalam peratusan komposisinya dan menjadi sumber bijih besi yang penting dalam industri perlombongan. Oleh kerana kandungan ferum yang tinggi ia juga melarut di dalam asid hidroklorik dan meninggalkan corekan berwarna merah ceri atau merah perang apabila dicorekkan pada permukaan porselin kasar. Antara tempat mudah didapati mineral ini ialah di sekitar kawasan Pelepah Kanan, Johor dan di Temangan, Kelantan serta Chenderoh, Perak


ILMENITE
Ia berwarna hitam dan hitam keperangan serta mempunyai kilauan separametalik dan kadang-kadang kusam. Terbina dari kategori sistem hablur heksgonal dan mudah ditemui dalam bentuk hablur, granular seperti pasir hitam dan kepingan kecil. Ia mempunyai kekerasan 5 dan graviti tentu 4.72. Kandungan titanium didalam mineral ini ialah 32.5% dan ferum 36.8% selebihnya adalah oksigen. Ia mempunyai ciri kemagnetan yang kuat kerana kandungan ferum yang tinggi. Kegunaan utama mineral ini adalah untuk mendapatkan logam titanium yang digunakan untuk pembuatan aloi kuat dan ringan dan peralatan pembinaan stesen janakuasa dan bangunan keselamatan serta penghasilan pigmen putih di dalam penghasilan cat (Ti0 2 ). Mendapat nama dari tempat mula dijumpai iaitu di Pergunungan Ilmen, Selatan Urals di Rusia.


KALSIT / CALCITE
Ia mempunyai kekerasan 3 yang mampu digores oleh duit siling,
dengan graviti tentu 2.7 dan sistem hablurnya Trigonal. Mempunyai warna yang pelbagai dari tidak berwarna, putih, kekuningan dan kelabu. Bagi kalsit yang tidak berwarna ia dipanggil Iceland Spar kerana jernih seperti ais di Iceland. Ia juga melarut jika dikenakan asid hidroklorik sejuk dan mengeluarkan gas karbon dioksida yang tidak berbau disamping ia menunjukan ciri pembelauan berganda jika dilihat melaluinya. Kegunaan utama kalsit ialah untuk pembuatan peralatan optik , pembuatan simen dan peralatan pendingin. Antara tempat mudah di dapati mineral ini ialah di sekitar kawasan Gunung Keriang, Kedah.


KASITERIT
Mendapat nama dari bahasa Greek “Kassiteros –Tin”. Ia berwarna
perang dan hitam keperangan dengan kilauan bukan logam berwarna putih ke kuning pucat, mempunyai kekerasan 6-7, sistem hablur Tetragonal dan graviti tentu yang tinggi iaitu 7.0. Ia mudah dijumpai dalam bentuk masif, fibrous dan ketulan hablur kecil. Mineral ini merupakan sumber utama bijih timah dengan kira-kira 78% stanum di dalam kasiterit. Kegunaan utama stamnum ialah dalam pembuatan pewter, peralatan pencetakan, bebola logam dan pembungkusan makanan. Banyak ditemui di kawasan Lembah Kinta, Lembah Klang dan Pengkalan Hulu, Perak.



KALKOPIRIT / CHALCOPYRITE
Dari bahasa Greek, chalkos - "copper" oleh itu "Copper Pyrite.
Mempunyai warna kuning gangsa, kuning berkarat dan hitam
kekuningan. Selalu disalah erti sebagai emas kerana warna yang hampir sama tetapi mempunyai kekerasan dan kilauan yang lebih dari emas. Mempunyai kekerasan yang rendah 3.5 - 4.0 dengan graviti tentu 4.2 dan sistem hablur tetragonal. Biasa dijumpai dalam bentuk masif, hablur kecil dan kadang kala telah diselaputi dengan mineral sekunder atau bersatu di dalam batuan granit dan kuarza. Ia melarut di dalam asid nitrik kerana komposisi kimianya dan hanya mempunyai 35% kuprum dari keseluruhan komposisinya. Kegunaan utamanya sebagai sumber logam kuprum walaupun peratusan kuprum yang rendah berbanding Cuprite 89% kuprum dan bahan penting dalam industri tenaga elektrik dan barang kemas. Antara tempat mudah di dapati mineral ini ialah di sekitar kawasan Bukit Ibam Pahang.


KOLUMBIT / COLUMBITE
Sebenarnya terdapat beberapa siri kolumbit yang bergantung kepada jenis komposisi kimia mineral dengan niobium terletak pada hujung satu siri dan Tantalum pada hujung siri yang lain. Mempunyai warna hitam dan hitam keperangan, kekerasan 6.0, graviti tentu 5.2 hingga 7.9 yang bergantung kepada jenis unsur yang hadir dan mempunyai kilauan separa metalik. Ia tergolong dalam sistem hablur ortorombik dan biasanya ditemui dalam bentuk masif dan granular di dalam batuan granit dan jenis batuan igneus lain. Ia merupakan sumber logam Niobium dengan kandungan 55% dari keseluruhan mineral dan sumber tantalum dengan kandungan 70% dari keseluruhan mineral bergantung kepada sirinya. Kegunaan utama logam tantalum sebagai logam tahan suhu tinggi, peralatan perubatan, pembuatan peralatan optik dan peralatan aeroangkasa.


KORUNDUM / CORUNDUM
Mendapat nama dari bahasa Sanskrit, Kuruvinda bererti delima. Mempunyai pelbagai warna dari merah, biru, jingga, kuning, putih dan kelabu. Ia sangat keras sehingga hanya berlian dapat mecalarkannya. Kekerasanya ialah 9 hanya boleh digores oleh berlian, graviti tentu 4.0 dengan kilauan bukan logam dan sebam akibat proses luluhawa. Ia tergolong dalam kategori sistem hablur hexagonal dan biasa ditemui dalam bentuk masif, hablur, granular dan bentuk barrel.
Kegunaan utamanya sebagai bahan perhiasan diraja iaitu batu permata dan bahan pelelas di dalam peralatan pertukangan dan kimpalan. Terdapat nama khas untuk batu permata dari keluarga korundum iaitu Delima (merah), Nilam (biru dan selain dari merah) dan padparadscha (jingga) mineral ini mempunyai nilai yang tinggi kerana sukar di dapati, warna yang menarik, kekerasan yang tinggi dan nilai sejarah mengikut budaya masing –masing. Antara tempat mudah di dapati mineral ini ialah di sekitar kawasan Lembah Kinta Perak dan Sri Langka.


KAOLINITE
Mudah ditemui di Kao-Ling China, maka namanya dipanggil
Kaolinit. Terbentuk dari pemendakan silika yang kaya dengan
logam aluminium. Ia mempunyai sistem hablur triklinik dan
mempunyai ira yang baik. Biasanya berwarna putih, dan kelabu
yang kusam. Kekerasannya 2.0 – 2.5 dan graviti tentu yang rendah 2.6 – 2.7. Biasa ditemui dalam bentuk masif dan macam tanah liat. Kegunaan utama kaolinit ialah sebagai bahan utama dalam pembuatan seramik, bahan tambahan dalam pembuatan kertas, cat dan plastik. Antara tempat mudah didapati mineral ini ialah di
sekitar kawasan Terung dan Bidor, Perak


KUARZA / QUARTZ
Mendapat nama dari Jerman yang merupakan nama tempat iaitu Quarz.
Merupakan mineral yang paling biasa ditemui, mempunyai pelbagai warna dari tak berwarna hingga kelabu. Setiap warna ini, mempunyai nama khas yang membolehkan pengecaman secara tepat dapat dilakukan seperti ungu (kecubung), merah jambu (kuarza ros), kuning (sitren), kelabu (kuarza berasap) dan lain-lain lagi. Ia mempunyai kekerasan 7, graviti tentu 2.63, sistem hablur heksgonal, bentuk yang biasa ditemui ialah hablur dan masif. Ia boleh dilarutkan di dalam asid hidroflorik. Kuarza boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu makrokristalin dan juga mikrokristalin. Makrokristalin bermaksud hablur Kristal tersebut boleh dilihat dengan mata kasar. Biasanya Kristal jenis ini adalah bersifat lutsinar. Mikrokristalin pula bermaksud hablur tersebut hanya boleh dilihat dibawah
kanta perbesaran yang tinggi seperti mikroskop. Hablur Kristal ini biasanya bersifat lutcahaya atau opak. Kegunaan utama kuarza ialah dalam pembuatan kaca, peralatan optik, peralatan elektrik dan batu permata. Antara tempat mudah di dapati mineral ini ialah di sekitar kawasan terumbu kuarza Klang Gate,Selangor dan dikawasan berbatuan Igneus.


LATERITE
Merupakan sejenis bauksit tetapi kaya dengan logam ferum hidroksida yang mudah ditemui di kawasan yang kaya dengan logam ferum. Ia terbentuk akibat proses luluhawa terhadap mineral kaya ferum seperti magnetit, hematit dan geothit serta siderit. Berwarna merah pekat dan perang gelap akibatan dari ion ferum dan melekit jika melarut di dalam air. Kegunaan utama laterit ialah
penambahan jisim bahan untuk sesuatu kawasan pembinaan dan pembaikan kawasan. Antara tempat mudah didapati mineral ini ialah di sekitar kawasan Pelepah Kanan, Johor dan Bukit Selambau, Kedah.


MAGNETITE
Dinamakan mengikut penemunya iaitu Magnes, seorang gembala
kambing yang meletakan paku pada kasutnya dan paku itu melekat pada batuan ini. Ia mengandungi kira-kira 73% ferum dari komposisinya. Biasa dijumpai dalam bentuk granular, masif dan hablur yang berwarna hitam berkilat dan berkilauan logam. Kadang kala ditemui dalam bentuk seperti pasir hitam yang berat. Ia mempunyai kekerasan 6.0 dan grativi tentu 5.2 serta meninggalkan corekan berwarna hitam apabila dicorek pada porselin. Ia terbina dari sistem hablur kubus maka mudah mengenalpasti bentuk hablurnya. Kegunaan utamanya di dalam perlombongan bijih besi untuk mendapatkan logam ferum. Antara tempat mudah di dapati mineral ini ialah di sekitar kawasan Pelepah Kanan, Johor dan Hulu Kinta, Perak.


MIKA / MICA 
Keluarga mika yang utama ia itu biotit K(Mg,Fe) 3 AlSiO 3 O 10
(OH,F) 2 (granular hitam) dan muskovit Kal 2 (AlSi 3 O 10 ) (OH,F) 2 (keping berwarna perak dan lutsinar). Biotit merupakan mineral yang kaya dengan ferum dan magnesium manakala muskovit kaya dengan aluminium sahaja. Biasanya ia muncul di dalam batuan igneus dan metamorf. Ia terbina dari sisitem hablur monoklinik, mempunyai kekerasan 2 – 3 dan graviti tentu 2.8 – 2.9. Kegunaan utama mika ialah sebagai bahan penebat di dalam industri semikonduktor dan penjanaan kuasa elektrik serta bahan pelincir tayar. Antara tempat mudah didapati mineral ini ialah di sekitar kawasan Bukit Mor, Muar, Johor.


MONAZITEMonazein bererti “to be alone” di dalam bahasa greek kerana ia kebanyakan bersendirian di dalam batuan pegmatit posfatik semasa dijumpai. Menjadi sumber utama untuk unsur thorium dan cerium yang jarang ditemui di muka bumi. Ia berwarna kuning pucat, perang gelap dan merah pucat, mempunyai kekerasan 5.5, graviti tentu 4.8 – 5.3 bergantung kepada peratusan unsur thorium dan cerium di dalam mineral tersebut yang tidak tetap. Ia tergolong dalam sisitem hablur monoklinik dan biasa ditemui dalam bentuk butiran hablur dan tabular seperti pasir. Kegunaan unsur di dalam mineral ini ialah dalam pembuatan elektrod dan rawatan radioaktif untuk pesakit barah.


PIRIT / PYRITE
Dalam bahasa Greek, Pirit bererti "stone which strikes fire”, ia mengandungi Fe 45.5% dan S 54.5%. Sering disalaherti sebagai emas kerana warna yang hampir sama seperti emas. Mempunyai warna kuning gangsa hingga kuning pucat, kekerasan 6, graviti tentu 5.0 – 5.2, sistem hablur kubus, memberikan warna corekan pada porselin yang berwarna hitam kehijauan dan menjadi bahan bermagnet setelah dipanaskan dengan kuat. Selalu muncul dengan bentuk hablur berkilat, granular, masif dan aggregat aluvium serta mudah ditemui di banyak kawasan. Kegunaan utama sebagai bahan pembuatan asid sulfurik dan pengasingan unsur sulfur. Disamping itu, kebiasaannya mineral ini bersatu dengan emas dan kuprum. Antara tempat mudah didapati mineral ini ialah di sekitar kawasan Bukit Ibam , Lancang, Pahang dan di Bukit Besi, Terengganu.


SCHEELITE
Mendapat nama sempena seorang ahli kimia Sweden Karl
Wilhelm Scheele (1742-1786). Ia berwarna putih kehijauan dan
putih kekuningan, dengan kekerasan 4.5, graviti tentu 2.44 – 2.5,
sistem hablur tetragonal dan biasa ditemui dengan bentuk hablur,
masif dan reniform (seperti buah pinggang) dengan kandungan
tungsten 63.8% dan kalsium 13.9%. Ia boleh melarut di dalam
asid hidroklorik dan asid nitrik dan ia boleh mengeluarkan
sinaran berwarna putih kebiruan yang cerah di bawah sinar UV gelombang pendek (ciri fluorescent).Kegunaan utamanya sebagai sumber logam tungsten yang digunakan sebagai filamen.



SPINEL
Spinel terdiri daripada system hablur isometik. Walau bagaimanapun ianya biasa dijumpai dalam bentuk berkembar membentuk oktahedra. Nama asal mineral ini telah hilang ditelan zaman tetapi ianya mungkin berasal daripada perkataan latin spina yang bermaksud duri kecil merujuk kepada hujung tajam sesetengah spinel. Ia mempunyai kekerasan 8 dan gravity tentu 3.54-3.63 dengan kilauan berkaca ke sebam. Sebelum kedatangan sains moden, spinel dan delima (ruby) dianggap sama. Spinel yang biasanya ditemui adalah berwarna merah,
biru, hijau, kuning, perang dan hitam.



TALKUM / TALC
Mendapat nama dari bahasa arab Talc, ia merupakan
mineral yang lembut, berwarna putih kehijauan, kekerasan 1, graviti tentu 2.7 – 2.8, sistem hablur monoklinik dan biasa muncul dengan bentuk masif, keping kecil dan butiran halus. Ia juga mempunyai ciri fluorescent. Kegunaan utama mineral ini sebagai bahan pembuatan kosmetik iaitu bedak, bahan penebat elektrik, seramik dan bahan tambahan dalam cat, getah, racun serangga dan kertas. Antara tempat mudah didapati mineral ini ialah di sekitar kawasan Tapah Perak.


TOPAZTopaz adalah mineral silika yang terdiri daripada aluminium dan fluorin. Tidak dapat dipastikan samada nama topaz berasal daripada perkataan Sanskrit ataupun greek. Walau bagaimanapun perkataan greek „topazios‟ bermaksud batu permata hijau. Topaz mempunyai kekerasan 8 dan gravity tentu 3.49–3.57 dengan kilauan berkaca. System hablurnya berbentuk orthorhombic dan biasanya digunakan sebagai batu permata. Terdapat beberapa warna topaz seperti tidak berwarna, biru, perang, oren, kelabu, kuning, hijau, merah jambu dan merah jambu kemerahan (reddish pink). Antara tempat yang boleh ditemui adalah seperti di Chenderiang, Perak


TURMALIN (Kompleks Aluminium Borosilikat dengan Logam Alkali)
Turmalin adalah merupakan keluarga kompleks diatas yang terdiri dari 12 ahli yang mempunyai komposisi yang hampir sama dengan sedikit perbezaan. Terdiri dari pelbagai warna dari hijau gelap, perang, biru, merah, merah jambu dan hitam. Kekerasan setiap spesis ini ialah 7.0, graviti tentu 3.0 – 3.2, terbentuk dari sistem hablur hexagonal dan mudah ditemui dalam bentuk siga segi, prisma dan butiran hampir bulat. Kegunaan biasa mineral ini ialah sebagai batu permata bagi yang menarik warnanya. Antara tempat mudah didapati mineral ini ialah di sekitar kawasan Lombong Tekah, Gopeng, Perak.


ZIRKON
Mendapat nama dari bahasa Arab iaitu Zargun yang bermakna warna emas. Ia mempunyai pelbagai warna tetapi yang tulen adalah tidak berwarna dan ia boleh dirawat untuk mendapatkan warna yang dikehendaki dalam industri batu permata. Ia mempunyai kekerasan 7.5, graviti tentu 3.9 – 4.8 bergantung kepada jenis unsur surih yang hadir, sistem hablur tetragonal dan bentuk paling biasa ditemui ialah prisma, hablur, tabular dan butiran halus seperti pasir. Kegunaan utamanya selain dijadikan batu permata ialah sumber logam zirkonium yang digunakan dalam industri nuklear, pembuatan aloi dan pelelas.

Sunday 28 July 2013

Batuan di Malaysia

Batuan adalah sebatian daripada satu atau berbagai jenis mineral yang terbentuk secara
semulajadi di dalam kerak bumi. Ia terbahagi kepada 3 jenis utama iaitu Batuan Igneus,
Batuan Sedimen dan Batuan Metamorf. Batuan Igneus terbentuk dari hasil penyejukan
magma yang menerobos naik ke permukaan bumi dan masa yang diambil untuk
penyejukan memainkan peranan penting dalam pembentukan struktur batuan. Batuan
Sedimen terbentuk hasil pemendapan bahan-bahan yang terangkut dan terlarut di dalam
pelarut yang melalui kawasan batuan yang mengalami proses hakisan dan luluhawa.
Batuan metamorf terhasil dari proses pemanasan dan pemampatan batuan igneus dan
sedimen pada suhu dan tekanan amat tinggi yang berlaku pada jangka masa yang panjang.
Proses ini mengubah komposisi, struktur, kekerasan dan warna batuan asal kepada batuan
transfomasi baru.


APLIT
Batuan Igneus yang mengisi retakan dan telerang. Biasa di temui di kawasan batuan Intrusif terutama dibahagian luar atau zon sentuhan. Berwarna cerah,bersaiz halus dan terdiri daripada mineral kuarza,felspar alkali dan mika. Antara tempat mudah di dapati ialah di sekitar kawasan
Ulu Kinta Perak



BASALT
Batuan jenis ini pula mempunyai persamaan dengan gabro dari segi kandungan mineral yang sama ( jenis basik – kandungan silika 45 – 52%) dan perbezaan pada saiz butiran yang lebih halus (<1mm). Biasanya ia berwarna hitam dan kelabu sekiranya telah terdedah kepada udara, ia berwarna kemerahan dan kehijauan serta teksturnya yang halus akibat proses penyejukan yang pantas di permukaan bumi. Mudah ditemui dalam kuantiti yang besar sebagai daik dan sil di dalam permukaan bumi dan di permukaan bumi dan boleh membentuk pulau jika muncul di tengah lautan. Antara tempat mudah didapati ialah di sekitar kawasan Gebeng, Pahang dan Tanjung Gelang, Terengganu.


BATU ARANG
Hasil proses pemendapan dan pengumpulan bahan karbon organisma hidup iaitu tumbuhan dan haiwan yang mengambil masa beribu tahun. Pemendapan dan pengumpulan bahan karbon ini berlaku akibat dihalang oleh bahan yang kedap udara seperti lumpur dan paya. Setelah jumlah yang banyak, sumber karbon ini menjadi keras dan memejal kepada sejenis batuan. Ia mempunyai saiz butiran karbon yang sangat halus <0.005mm, tekstur yang halus , berminyak dan licin. Kebanyakan berwarna hitam berkilat, kelabu dan perang mengikut tahap pembentukan arang batu tersebut. Gambut (Peat) merupakan tahap pertama pembentukan arang batu ( 60% karbon dari jisim keseluruhan) dan biasanya berwarna yang agak cerah. Lignit merupakan tahap kedua arang batu, (60 – 75% karbon) apabila kandungan air dikeluar dari batuan tersebut. Bitumin adalah tahap ketiga, (90% karbon) dan tahap terakhir ialah Antrasit (95% karbon). Peningkatan tahap merujuk kepada keberkesanan sumber bahan api semasa proses pembakaran arang batu dan peratusan kandungan karbon per jisim batuan. Antara tempat mudah di dapati ialah di sekitar kawasan Batu Arang, Selangor dan Sarawak.



BATU LODAK / SILTSTONE
Batu lodak merupakan batuan sedimen berbutiran halus dimana ianya terjadi daripada lumpur dan tanah liat. Saiz butiran batuan ini mencecah 0.0625mm menyebabkannya sukar dikenal pasti tanpa menggunakan mikroskop. Batu lodak boleh dijumpai dalam warna hitam kelabu, putih, perang, merah, hijau gelap atau biru. Ia terjadi apabila lumpur atau tanah liat termendap dan berlakunya
penambahan tekanan dari semasa ke semasa. Keadaan ini menyebabkan batuan ini mempunyai bentuk berlapis yang tersusun dengan rapi. Antara tempat yang boleh ditemui ialah di Bukit Merah, Perak.



BITUMEN
Bitumen merupakan campuran cecair organik berwarna hitam, melekit dan melarut dengan sepenuhnya di dalam karbon disulfida. Walaupun dikatakan campuran cecair, bitumen wujud dalam keadaan pepejal pada suhu bilik dan akan menjadi cecair apabila dipanaskan pada suhu yang tinggi. Ini kerana ia mempunyai takat lebur yang tinggi iaitu sehingga 525°C (977°F). kebanyakan bitumen mengandungi sulfur dan beberapa mineral berat yang lain seperti nikel, vanadium, chromium, merkuri dan juga arsenic, selenium dan beberapa elemen bertoksik yang lain. Bitumen banyak digunakan dalam produk kalis air, penurapan jalan, dan sumber petroleum.



BATU KAPUR / LIMESTONE
Banyak jenis batu kapur yang mudah diperolehi yang terdiri mineral kalsit. Biasanya berwarna cerah seperti putih, perang, kuning dan kelabu. Mempunyai tekstur halus hingga kasar bergantung kepada tahap tindakbalas kimia yang berlaku dan keadaan semasa pemendapan berlaku. Biasanya terdapat fosil di dalam batuan jenis ini yang merupakan hidupan laut dan bahagian tumbuhan. Jenis-jenis batu kapur ialah batu kapur berfosil, kapur, batu kapur lumpur dan dolomit. Kapur dibentuk dari 100% batu kapur tulen yang terbentuk di zaman (Cretaceous) di sekitar 141 –65 juta tahun dahulu. Ia dibentuk di kawasan air jernih yang banyak dihuni oleh alga dan plankton, oleh itu banyak fosil boleh ditemui. Dolomit pula merupakan batu kapur yang mengandungi banyak magnesium. Biasanya berwarna kuning, perang dan merah jambu. Mempunyai bentuk yang khusus dan tekstur yang pelbagai. Antara tempat mudah di dapati ialah di sekitar kawasan Batu Cave, Selangor dan Ulu Kinta Perak.





BATU KAPUR HITAM/BLACK LIMESTONE
Perbezaan ketara di antara batu kapur dan batuan ini ialah peratusan kandungan unsur karbon di dalamnya. Kehadiran karbon yang tinggi menyebabkan warna batu kapur ini menjadi gelap dan hitam. Selain dari itu, semuanya mempunyai persamaan dengan batu kapur biasa. Antara tempat mudah didapati ialah di sekitar kawasan Simpang Pulai Perak.



BATUAN TURMALIN-KORUNDUM
Batuan ini jarang ditemui ditempat lain kecuali terdapat dengan banyaknya di kawasan Lembah Kinta. Kandungan mineral utamanya ialah turmalin yang berwarna hitam dan roset korundum yang pelbagai warna seperti putih, kelabu, biru dan perang. Ia sangat keras dan berat dan mempunyai bentuk pelbagai bergantung kepada tahap kesan luluhawa kepada batuan tersebut. Biasanya ia
mempunyai lubang yang ditinggalkan oleh roset korundum akibat tertanggal selepas mengalami proses luluhawa. Antara tempat mudah di dapati ialah di sekitar kawasan Simpang
Pulai, Perak dan Gambang, Pahang.


BRECCIA
Breccia merupakan sejenis batuan sedimentari yang terbentuk hasil daripada penyimenan batuan yang lebih halus yang biasanya bersaiz kelikir (gravel). Breccia terbentuk hasil daripada proses penyimenan daripada tindakan air udara dan tindakan tumbuhan dan haiwan. Ianya sama seperti batuan konglomerat dari segi kejadian dan saiz butirannya. Cuma apa yang membezakannya adalah bentuk butiran yang terdapat pada batuan breccia ini yang bersudut sedangkan konglomerat pula mempunyai bentuk butiran yang membulat. Antara tempat yang boleh ditemui adalah di Maran, Pahang.





CHERT/BATU RIJANG
Terbentuk dari pemendapan koloid silika terhidrat dari jenis kalsidoni (kuarza kriptokristalin) yang rata, berlapis-lapis dan mempunyai serpihan. Mempunyai saiz butiran yang sangat halus hingga sukar dikenalpasti di bawah mikroskop akibat pemendakan dari larutan silika. Kebanyakan mempunyai warna yang pelbagai seperti putih, perang, kelabu dan hitam. Seringkali juga terdapat fosil di dalam batuan jenis ini. Sering digunakan sebagai senjata tajam di zaman batu kerana kekerasan dan bentuk yang bersegi menarik. Antara tempat mudah di dapati ialah di sekitar kawasan Bukit Paku, Klian Intan, Perak dan kawasan Kuala Ketil-Baling, Kedah dan Pengkalan Hulu dan Kampung Parit, Perak.





DIORITE
Ia mempunyai kandungan silika yang rendah, dalam kategori igenus basik dan kandungan mineral lain yang sama seperti granit iaitu felspar plagioklas dan hornblend yang tinggi tanpa atau kurang
kehadiran kuarza dan felspar ortoklas. Mineral sampingan yang biasa dijumpai ialah biotit, piroksen, apatit, oksida besi dan sfen. Ia mempunyai saiz butiran yang kasar secara purata, tekstur yang kurang jelas keadaannya dan warna yang gelap seperti hitam dan kelabu dengan sedikit warna putih kuarza atau felspar. Biasanya diorit ditemui sebagai daik dan stok di permukaan kerak bumi.


FILIT / PHYLLITE
Batuan jenis ini merupakan hasil dari proses metamorf bergred rendah yang dibentuk dari batuan jenis syal yang telah lama berada pada kedalaman yang tinggi. Ia mempunyai bentuk yang berkeping akibat kehadiran muskovit di dalam batuan asal. Mempunyai warna yang cerah seperti merah, perang dan putih berbelang hitam. Ia juga mudah dipecahkan kerana rapuh dan berlapis-lapis. Antara tempat mudah didapati ialah di sekitar kawasan Kuala Abang, Terengganu.



GABBRO
Mengandungi kandungan mineral yang sama dengan diorit cuma yang membezakannya ialah jenis felspar plagioklas kalsik. Mempunyai saiz butiran yang halus (5mm – 3cm) dengan tekstur yang kasar. Kebanyakannya berwarna hitam, kelabu dengan tompok putih yang kecil. Sering juga mempunyai mineral yang bersatu dengan batuan ini seperti augit, olivin, biotit, hondblend, serpentin. Mudah didapati di kawasaan gunung berapi tua di permukaan bumi. Antara tempat mudah di dapati ialah di sekitar kawasan Sungai Ruan, Pahang dan Pulau Aur di
Mersing, Johor.



GNEISS
Gneiss merupakan sejenis batuan metamorf yang berasal daripada batuan igneus atau sedimen yang mana tertanam jauh kedalam bumi dan mengalami tekanan dah pemanasan pada suhu yang tinggi. Kebanyakan gneiss yang biasa dijumpai adalah terdiri daripada granit, diorit dan syis. Ia mempunyai tekstur kasar, berjalur dan mempunyai warna dari putih hingga ke kelabu gelap. Mineral yang terdapat pada batuan ini bergantung pada batuan asalannya. Walaubagaimanapun mineral yang biasa boleh dijumpai adalah seperti feldspar dengan kuarza, mika, hornblend dan garnet.



GRANITE MIKRO
Mempunyai kandungan mineral yang sama seperti granit porfir iaitu kuarza 20 – 40%, felspar ortroklas
yang tinggi dan mineral sampingan cuma mempunyai saiz
butiran mineral 2 - 4 mm secara puratanya. Tekstur batuan ini
halus dan seragam. Mempunyai warna putih, kelabu dan merah
jambu jika diserta oleh felspar yang berwarna merah jambu.
Biasanya batuan ini wujud sebagi instrusi granit kecil yang muncul di kawasan gunung berapi. Ia juga tergolong dalam kategori batuan igneus berasid. Kegunaan batuan jenis ini ialah sebagai bahan pembinaan bangunan, jalan raya dan kepingan jubin jika bersaiz besar. Antara tempat mudah di dapati ialah di sekitar kawasan jalan raya Cameron Highland Simpang Pulai Perak



GRANITE PORFIR / PORPHYRY
Hasil dari gabungan dari kuarza 20 - 40%, felspar ortoklas dengan sedikit mineral seperti biotit, amfibol, piroksen dan turmalin. Ia mempunyai saiz butiran yang sangat kasar iaitu >3cm. Mempunyai tekstur kasar porfiritik feldspar ortoklas berbanding saiz mineral lain. Warnanya lebih kelihatan putih dan kelabu yang menunjukan kehadiran kuarza dan felspar yang berlebihan. Ia biasanya wujud sebagai instrusi granit besar di kawasan pergunungan gunung berapi. Ia di kategorikan sebagai batuan igneus berasid kerana kandungan silika melebihi 66%. Banyak mineral ekonomi turut bersatu dengan batuan ini seperti kasiterit dan wolframit. Kegunaan utama batuan jenis ini ialah dijadikan agregat untuk bahan pembinaan jalan, bangunan dan empangan.




JED / JADE
Jed adalah merupakan sejenis batuan metamorf yang terhasil daripada mineral silika yang berlainan. Nama jed diambil daripada perkataan sepanyol iaitu piedra de ijada yang bermaksud batu pinggang (loin stone). Jed terbentuk daripada hampir keseluruhannya jadeit iaitu sejenis pyroxene yang kaya dengan sodium dan aluminium. Terdapat satu lagi jenis jed yang dikenali sebagai jed nephrit (nephrite jade). Ia agak sedikit berbeza dengan jed tadi dimana ia terhasil daripada matrik fiber kalsium mikrokristalin yang saling mengunci. Perkataan nephrit ini pula diambil daripada perkataan lapis nephtiticus, iaitu piedra de ijada versi latin. Nephrit boleh dijumpai dalam warna krim dan juga hijau manakala jadeit pula mempunyai lebih warna termasuk biru, ungu lavender, merah jambu dan hijau. Antara tempat yang boleh ditemui adalah di Bukit Ibam, Pahang.


KONGLOMERAT / CONGLOMERATE
Sejenis batuan sendimen yang terbentuk dari proses penyimenan ketulanbatuan lain atau hablur mineral (matrik) yang telah dibawa oleh air, udara atau tindakan tumbuhan dan haiwan. Ia mempunyai saiz butiran dan warna yang pelbagai bergantung kepada saiz dan jenis ketulan batuan dan mineral seperti kuarzit, kuarza, cert dan lain-lain yang disimen oleh kalsit atau silika. Biasanya berwarna merah, putih, hitam dan kelabu. Ia mudah dijumpai di dasar tasik, sungai dan pantai. Walaupun ia merupakan batu sedimen, fosil jarang dijumpai di dalam batuan jenis ini. Antara tempatmudah didapati ialah di sekitar kawasan Empangan Muda dan Pedu, Kedah serta Mersing Johor.



KUARZIT / QUARTZITE
Ia berasal dari batuan jenis batu pasir cuma ia telah mengalami proses penstrukturan semula mineral akibat dari tekanan dan haba yang diberikan semasa proses metamorf. Ia mempunya saiz butiran yang sederhana kasar dan tekstur yang halus akibat pemampatan hablur mineral. Ia mengandungi banyak kuarza dengan sedikit felspar, mika dan mineral surih. Warnanya putih, perang, kelabu dan merah jika banyak mineral sampingan. Dijumpai di kawasaan yang pernah mengalami proses pemendakan dan proses penyesaran atau pemampatan kerak bumi. Antara tempat mudah didapati ialah di sekitar kawasan lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Hulu Kinta dan Gunung Kumbo, Perak.



KUARZA MIKA-SYIS 
Merupakan peringkat seterusnya hasil dari proses metamorf syal ke filitdan ke kuarza - mika – syis. Perubahan ini berlaku kerana peningkatantekanan dan suhu disamping kedudukan filit yang tidak berubah selepasberlaku proses metamorf pertama. Ia mempunyai kandungan yanghampir sama tetapi bentuk yang berbeza iaitu mempunyai laminasiberombak yang nipis (syistositi), kepingan muskovit yang kurang jelas,serpihan kuarza yang halus dan warna yang lebih cerah dengan warna merah, jingga, perang dan kilauan
dari hablur muskovit dan kuarza. Ia juga mudah pecah jika ditekan kerana struktur antara hablur yang
tidak kuat. Batuan ini boleh ditemui di Temangan, Kelantan dan Kubu Legap, Sungai Siput Perak.



MARMAR / MARBLE
Merupakan sejenis batuan metamorf yang bergred rendah yang terbentuk dari batu kapur. Ia mempunyai saiz butiran yang sederhana kasar dengan bentuk hablur kalsit di samping mineral surih yang jelas kelihatan akibat penghabluran semula semasa proses pemanasan dan pemampatan di dalam kerak bumi. Ia lembut dan mudah dibentuk mengikut ukiran yang dikehendaki. Mempunyai pelbagai warna dari putih, hitam, merah dan kuning.
Bagi gred yang rendah kemungkinan mempunyai fosil adalah tinggi. Antara tempat mudah didapati ialah di sekitar kawasan Pulau Langkawi, Kedah dan Simpang Pulai, Perak.


OBSIDIAN
Obsidian biasanya wujud sebagai sebatian berkaca di dalam batuan igneus ekstrusif. Obsidian adalah hasil daripada lava gunung berapi yang mengalir kedalam air laut atau sungai berhampiran. Keadaan ini menyebabkan lava tersebut menyejuk dengan cepat lalu menjadikannya tekstur batuan yang berkaca. Kehadiran ferum dan magnesium menjadikannya berwarna dari hijau gelap, perang gelap hingga ke hitam. Ia mempunyai kekerasan 5-5.5 dan gravity tentu puratanya 2.6. Masyarakat pada zaman dahulu banyak menjadikan obsidian sebagai peralatan memotong, senjata dan juga upacara-upacara tertentu. Ia juga boleh dijadikan batu permata dan juga barangan ukiran.




PEGMATITE
Mempunyai kandungan mineral hampir sama seperti granit tetapi
mineral utama ialah felspar orthoklas, diikuti kuarza, muskovit dan
mineral ekonomi yang biasa ditemui seperti beryl, kalkopirit, korundum, fluorite, galena, rutil dan topaz. Ia mempunyai saiz butiran yang kasar iaitu kira-kira >3cm dan tekstur yang secara relatifnya agak kasar. Mempunyai warna yang pelbagai bergantung kepada warna mineral ekonomi yang jelas kelihatan dan warna felspar. Biasa ditemui di kawasan gunung berapi yang aktif dan telah mati. Kawasan ini biasanya menjadi kawasaan lombong dan kuari berharga. Antara tempat mudah di dapati ialah di sekitar kawasan Bukit Mor, Muar Johor.


PUMIKA / PUMICE
Pumika mendapat nama daripada perkataan latin pumex yang bermaksud buih. Ia terjadi apabila lava yang mengandungi kandungan air dan gas yang tinggi meletus keluar dari gunung berapi. Apabila lava tersebut menyejuk dan mengeras, ia akan membentuk sejenis batuan yang ringan dan mempunyai rongga-rongga udara padanya. Pumika sangat ringan dan merupakan satu-satunya batu yang boleh terapung diatas air. Walau bagaimanapun, lama-kelamaan air akan memasuki kedalamnya melalui rongga-rongga udaranya lalu menyebabkannya tenggelam. Pumika biasanya mempunyai warna dari putih, krim, biru atau kelabu, ke hijau keperangan atau hitam. Ia banyak digunakan dalam konkrit yang ringan, pemadam pensil, penggelupas kosmetik (scrubbing), sabun lava (pumice soap), barangan pedicure untuk menghilangkan kulit kering dan kasar dan juga dalam sesetangah ubat gigi dan pembersih yangan sebagai bahan pelelas.



RIOLIT / RHYLIOTE
Batuan jenis ini mempunyai kandungan mineral yang serupa dengan granit iaitu berasid kecuali saiz butiran yang sangat halus iaitu <1mm hingga sukar dikenalpasti dengan mata kasar. Mempunyai tekstur yang licin beraliran yang membuktikan proses penyejukan yang pantas setelah dikeluarkan dari gunung berapi sebagai lava dan mempunyai jarak pengerakan yang pendek dari puncanya. Biasanya berwarna hitam, kelabu, dan sedikit putih. Tiada kegunaan yang biasa kerana sukar dijumpai pada jumlah yang banyak dan jika ada hanya pada kawasaan gunung berapi aktif. Antara tempat mudah di dapati ialah di sekitar kawasanLancang, Pahang



SERPENTINITE
 Merupakan batuan igenus sekunder lampau basik yang mempunyaikandungan silika rendah kurang dari 45%. Ia mempunyai kandungan mineral utamanya iaitu serpentin, hornblend, besi oksida, mika dan kadang kala dengan garnet. Teksturnya yang kasar tetapi mempunyai warna yang menarik akibat kehadiran mineral berwarna seperti olivin (hijau), mika (putih berkilat), besi oksida (hitam, merah dan perang) dan garnet (pelbagai). Kegunaan utama batuan jenis ini ialah untuk arca dan jubin dinding serta jubin lantai. Kebanyakan batuan ini dijumpai sebagai stok di dalam permukaan bumi. Antara tempat mudah didapati ialah di sekitar kawasan Kuala Mu, Sungai Siput, Perak dan Bukit Ibam, Pahang.



SYENIT
Merupakan batuan igneus sederhana (52 – 66% silika) yang mempunyai saiz butiran halus iaitu 5mm –3cm. Teksturnya halus dan seragam. Mineral yang ada pada batuan ini ialah kuarza kira-kira 10%, dan selebihnya mineral sampingan seperti zirkon, biotit, apatit, augit. Warna batuan ini dipengaruhi oleh warna mineral sampingan yang paling ketara kehadiranya seperti zirkon
(merah) dan biotit (hitam). Syenit merupakan batuan igneus plutonik yang kurang ditemui di permukaan kerak bumi. Biasanya digunakan sebagai kepingan jubin kerana warna yang menarik dan cantik. Antara tempat mudah didapati ialah di sekitar kawasan Benta dan Lancang, Pahang serta Bahau,Negeri Sembilan.



SYAL / SHALE
Merupakan batuan sendimen yang terbentuk dari pemendapan lumpur halus yang mempunyai julat saiz <0.005mm. Lumpur atau kaolinit merupakan silikat kompleks hasil dari proses pengluluhawaan cuaca terhadap felspar dan mika. Disamping itu juga mungkin hadir hablur mineral yang tertinggal berserta fosil haiwan dan tumbuhan. Teksturnya halus dan berlapis hasil dari
proses pemendapan berperingkat di dasar tasik, kuala sungai dan tebing sungai. Warna batuan jenis ini biasanya hitam yang disebabkan kehadiran unsur karbon, perang dan kemerahan akibat dari besi oksida dan warna hijau serta kelabu. Antara tempat mudah didapati ialah di sekitar kawasan Kuala Ketil -Sungai Petani, Kedah.

SYAL BERKARBON
Syal Berkarbon merupakan sejenis batuan yang mempunyai kandungan unsur karbon yang tinggidi dalam proses pembentukannya. Berasal dari lumpur yang dimampatkan oleh
proses yang memakan masa beribu tahun. Mudah diperolehi di kawasan tasik dan sungai yang mempunyai sumber karbon yang tinggi. Kemungkinan batuan ini mempunyai fosil adalah tinggi. Antara tempat mudah di dapati ialah di sekitarkawasan Tengaruh Mersing Johor.



SYIS BERGRAFIT
Ia merupakan hasil dari proses metamorf batuan jenis syal berkarbon. Akibat proses pemanasan yang berlaku, karbon yang terdapat di dalamsyal menjadi grafit yang mengotorkan tangan jika dipegang.Mempunyai warna yang gelap seperti hitam dan kelabu dengan sedikit kilauan. Ia berbentuk kepingan yang rata dan berombak bergantung kepada bentuk syal asal. Mudah dipatahkan dan boleh digunakan
sebagai alat tulis. Antara tempat mudah didapati ialah di sekitar
kawasan Lebuhraya Timur Barat.


TUFF
Batuan jenis ini merupakan pemaduan abu gunung berapi yang dikeluarkan semasa proses letusan gunung berapi aktif. Ia mengandungi pelbagai jenis mineral yang halus seperti kaca semulajadi, serpihan mineral dan hablur mineral. Saiz butiran sangat kecil hingga <1mm sehingga sukar dikenalpasti dengan mata kasar dan ia mempunyai tekstur yang licin dan berkilat. Warna tuff biasanya hitam, kelabu dengan tompok putih dan hijau. Tuff mudah dijumpai di sekitar kawasaan gunung berapi yang baru meletus dalam jarak ratusan kilometer setelah dibawa oleh udara panas dari letusan dan memejal sebelum jatuh ke bumi. Antara tempat mudah di dapati ialah di Bukit Damar sekitar kawasan Sungai Rui,Grik, Perak.